19 August 2014

Peranan filem dalam masyarakat.



Contoh esei tidak berformat
Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai. Huraikan peranan filem dalam masyarakat.
Filem merupakan salah satu elemen seni budaya yang diminati ramai sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Kewujudan filem pada hari ini memberikan impak yang sangat besar dalam dunia perfileman. Hal ini boleh dilihat apabila banyak karyawan filem berusaha untuk menghasilkan filem yang berkualiti bagi menarik minat banyak golongan penggemar filem. Hal ini terbukti dengan karya yang telah dihasilkan dalam pelbagai bentuk filem seperti filem seram, komedi, cinta, fantasi, kehidupan dan sebagainya. Filem juga memainkan peranan yang penting terhadap masyarakat dan mereka sepatutnya memanfaatkan peluang keemasan itu dengan sebaik-baiknya.
            Elemen yang sangat mempengaruhi para karyawan menghasilkan sesuatu filem adalah sebagai alat hiburan terhadap golongan masyarakat. Pelbagai masalah yang menerjah fikiran banyak golongan boleh ditenangkan melalui filem yang sarat dengan pelbagai unsur terutamanya unsur komedi yang boleh mengurangkan tekanan pada akal fikiran mereka. Masyarakat masih boleh berhibur walaupun ada pandangan yang mengatakan perbuatan tersebut membuang masa sahaja. Kita memerlukan elemen filem yang sedemikian bagi mengelakkan diri kita daripada terbeban oleh tugas seharian. Oleh itu, seseorang itu memerlukan hiburan seperti filem agar mereka tidak terkongkong dalam satu cabang kehidupan sahaja.
            Filem juga penting sebagai medium bagi memberi nasihat dan pengajaran terhadap golongan masyarakat. Sekiranya tiada unsur perfileman, sudah tentu sukar untuk kita memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kita. Tidak semua filem yang diketengahkan kepada masyarakat hanya hiburan semata-mata. Hal ini boleh dilihat apabila ada filem yang mengetengahkan nilai-nilai murni yang menasihatkan masyarakat mengikut amalan sedemikian. Ada filem yang memaparkan kejahilan seseorang itu tentang sesuatu perkara yang menyarankan masyarakat untuk mengelakkan diri daripada menjadi sedemikian. Oleh itu, filem sebegini sentiasa menasihatkan masyarakat tentang pentingnya pengajaran yang dipaparkan supaya yang lebih baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
            Kehidupan masyarakat pada hari ini ada pelbagai jenis dan kadangkala sukar untuk dicapai oleh akal. Melalui filem, mudah untuk masyarakat mengetahui situasi sebenar yang berlaku di dalam dunia hari ini. Kebanyakan filem yang dipaparkan berkisar tentang kehidupan dunia hari ini dan kita boleh mengetahui hakikat sebenar seperti yang diimpikan oleh semua orang. Hal ini boleh dilihat apabila terdapat golongan yang hidup dalam kemewahan dan kesenangan tetapi hakikatnya jiwa mereka mengalami kekusutan yang berpanjangan. Sebagai contohnya, golongan selebriti yang indah khabar daripada rupa yang berlagak profesional di hadapan kamera tetapi kehidupan sebenar mereka tidak seindah seperti dalam filem. Oleh itu, melalui filem, kita akan berfikir dua kali untuk mengagumi mereka kerana kehidupan mereka penuh dengan ranjau yang perlu ditempuh.
            Hubungan kekeluargaan juga boleh dipererat dengan adanya karya dalam bidang perfileman ini. Perkara ini boleh didapati banyak golongan masyarakat pada zaman sekarang yang sentiasa sibuk dengan kerjaya seharian mereka. Dengan adanya karya perfileman ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka terutamanya pada hujung minggu untuk ke pawagam bagi menonton filem. Sudah tentu anak-anak pula akan berasa seronok serta berasa tidak terabai kerana ibu bapa mereka prihatin terhadap diri mereka akan meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga. Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak faedah yang diperoleh dengan menonton filem bersama-sama dengan keluarga. PRA U SMK TPDPH NORMAH
            Arena perfileman ini bukan sahaja berperanan terhadap golongan masyarakat yang menggemari filem itu sahaja malah filem juga memberikan kepentingan terhadap masyarakat. Perkara ini boleh dilihat apabila sektor pekerjaan juga boleh terisi melalui dunia perfileman ini. Banyak golongan yang diperlukan bagi menghasilkan sesuatu filem dengan jayanya, bukan sahaja daripada golongan yang ada di hadapan kamera tetapi juga daripada golongan di belakang tabir yang bertanggungjawab untuk menggerakkan pembikinan sesuatu filem itu. Apabila industri perfileman memerlukan tenaga kerja, masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat akan dapat dikurangkan. Seterusnya industri perfileman dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat apabila adanya kerjaya dalam bidang perfileman.
            Kesimpulannya, filem merupakan aspek yang diperlukan dalam masyarakat pada hari ini. Walaupun masyarakat beranggapan buruk terhadap sesetengah filem, tetapi karya itu sebenarnya memberikan pengajaran terhadap masyarakat. Jika masyarakat hanya tahu mengkritik karya yang dihasilkan itu tanpa mengetahui motif sebenar sesuatu filem itu, dunia perfileman sukar untuk berkembang. Seharusnya masyarakat berfikiran positif agar pengeluar filem menghasilkan karya yang lebih banyak dan barangkali lebih berkualiti untuk memajukan industri ini. Oleh itu, filem yang dihasilkan tidak harus dibiarkan begitu sahaja dan pengeluar filem haruslah menghasilkan  karya yang benar-benar berkualiti.

650 patah perkataan

15 August 2014

Bersyukur; Wan Saidatul Husna Nazwa



Bersyukur
                Air, tumbuh-tumbuhan, tanah dan segala kehidupan di dunia ini adalah nikmat yang diberikan oleh Sang Pencipta. Nikmat yang dikurniakan oleh-Nya memberi banyak kesenangan dan membantu kita dalam meneruskan kehidupan.
                Berterima kasih ataupun erti kata lain adalah bersyukur sama ada dari segi wang, makanan ataupun sebagainya. Dengan cara bersyukur kita akan lebih menghargai dan menjaga sesuatu benda tersebut dengan baik dan teliti.
                Salah satu cara kita bersyukur adalah dengan memperbanyakkan ibadat kita kepada Yang Esa. Harus kita ingat kepada pemberi nikmat kepada kita selama ini. Amalkanlah solat sunat dengan lebih banyak, kerapkanlah berzikir adalah antara salah satu cara kita untuk berterima kasih kepada Yang Maha Kuasa.
                Ada beberapa ketika kita lupa untuk bersyukur. Timbullah sifat riak mahupun sombong dalam diri kita. Cepatlah kita sedar apabila hal seperti ini berlaku dan cepatlah bertaubat agar kita tidak hanyut dalam godaan syaitan durjana.
                Apabila syaitan menguasai diri kita, kita akan berasa kita yang terhebat, terhormat dan terbaik. Kita akan lupa pada orang sekeliling kita yang sentiasa menyokong kejayaan kita. Oleh itu berhati-hatilah.
                Kita sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Jangan ingat, kesusahan merupakan dugaan tetapi apabila kita dilimpahi dengan kemewahan Allah juga sedang menguji kita. Allah ingin lihat sama ada kita bersyukur kepada-Nya ataupun terus melupakan-Nya. Allah terlalu sayangkan kita kerana selalu memberikan kita ujian dalam hidup kita. Ia menjadikan kita lebih matang dan berfikiran dewasa.
                Kesimpulannya, harus disematkan sikap berterima kasih dalam diri kita. Bukan susah untuk berterima kasih dan bukan susah untuk mendapat nikmatnya. Kita sebagai umat-Nya harus bersyukur dan janganlah bersifat riak dalam kehidupan kita. Oleh itu, kesederhanaan itu penting dalam kehidupan dan bersyukurlah selagi kita hidup.

(WAN SAIDATUL HUSNA NAZWA BINTI WAN ASBI, 6BB PRA U SMK TPDPH NORMAH 2014)

Nukilan kata buat Tuan Pengetua



Subuh hari lalu
Kau menjejak kaki di SMK NORMAH
kau sirami dinihari kami
Kau gemerlapkan pagi kami
Kau warnakan hari-hari kami
Kau ceriakan waktu kerja
Kau hiburkan hari-hari kami
Dengan jenakamu
Senda gurau tak lekang di bibirmu
Penawar lara kami
Yang keletihan menghambat warga kecil SMK NORMAH
kau mengajar kami erti Pakat Buat
Teguranmu membina kami
Ajarmu pasti kami tak lupa
Jasamu pasti kami abadikan
Benar ibarat gurindam jiwa
Di dalam hati tidak dilupa
Sebagai rambut bersimpul mati
Puan Pengetua
Intai kami antara Nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Namun begitu
Bercerai kasih talak tiada
Seribu tahun kembali jua

Namun kini
Belum sempat senja menjengah
Kau terpaksa melangkah pergi
Nyata masa singkat sekali
Kami akur demi tugasmu
Patah tumbuh hilang berganti
Selaut kasih, selangit kasturi
Buatmu Tuan Pengetua, Puan Hajah Aishah

(DAYANG NURIDATULHIKMA BINTI AWANG INDERA, 6BC PRA U SMK TPDPH NORMAH 2014)