14 August 2014

Insan yang lebih baik; Wan Saidatul Husna Nazwa


Hidup kita di dunia ini ibarat seorang perantau. Hidup kita di dunia ini hanyalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T demi mencapai matlamat utama yang kita impikan iaitu berjaya di akhirat. Untuk mencapai matlamat tersebut, beberapa perkara yang harus kita lakukan agar diri kita tidak terpesong daripada mencapai keredhaan Allah S.W.T.
                Perkara utama yang harus kita lakukan ialah percaya kepada agama kita sendiri iaitu Islam. Islam itu indah, tiada paksaan dalam menganuti agama Allah ini. Kita sebagai umat Islam haruslah percaya kepada kewujudan Allah S.W.T, kewujudan benda-benda ghaib seperti dosa, pahala, syurga, neraka dan sebagainya. Setiap manusia ada agama. Terpulanglah agama apa yang dianuti, percaya itu penting dan turutilah amar makruf nahi mungkar iaitu melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
                Dalam hidup, pentingkan diri sendiri tidak salah terapi biarlah terletak pada tempat yang betul. Apa salahnya, kita berkorban untuk orang lain demi kebaikannya. Daripada sifat tidak pentingkan diri sendiri, lahirlah sifat sayang-menyayangi antara sesama manusia. Dengan memberi bantuan kepada orang lain, kita akan dijanjikan sepuluh kebaikan daripada Yang Maha Esa. Oleh itu, janganlah takut untuk berkorban untuk orang lain dan jauhilah sifat mementingkan diri sendiri kerana sifat tersebut dapat merugikan kita sendiri.
                Selain itu, berkongsi ilmu juga adalah antara usaha untuk menjadi insan yang lebih baik. Berkongsi ilmu bukan beerti kita akan kehabisan ilmu tetapi percayalah dengan berkongsi ilmu kita akan dapat menambah ilmu. Satu-satunya benda yang tidak akan habis di dunia ini apabila dikongsikan adalah ilmu. Apabila orang lin mengamalkan ilmu yang kita gunakan, pahala yang kita dapat tidak akan berhenti walaupun setelah kita meninggalk dunia. Betapa hebatnya kenikmatan yang kita dapat apabila kita berkongsi ilmu.
                Seterusnya ialah taat kepada ibu bapa. Semewah manapun rumah yang kita miliki, sebesar manapun kereta yang kita ada, sebanyak manapun wang yang kita punyai, ingatlah, kejayaan kita ini bernih daripada usaha yang disemaikan oleh ibu bapa kepada kita. Jangan hanya disebabkan kita berpangkat tinggi, ibu bapa kita lupai bahkan ada yang sanggup membuang ibu bapa mereka ke dalam rumah kebajikan. Betapa kejamnya anak-anak mereka. Jangan kita lupa, secomot manapun ibu bapa kita bila mereka sudah tua, tangan itulah yang membawa kita kepada dunia kejayaan. Ingatlah, seorang ibu ataupun bapa mampu menjaga sepuluh anak, namun belum tentu sepuluh anak itu mampu menjaga kedua-duanya.
                Akhir sekali ialah menjaga hubungan sesama manusia yang lain. Kita tidak boleh mengata ataupun mengutuk kekurangan orang lain. Allah telah menjanjikan setiap benda yang wujud di dunia ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tertentu. Mengutuk kelemahan orang lain sama seperti kita mengutuk Sang Pencipta. Oleh itu, kita mestilah berhati-hati dalam berkata-kata kerana hanya dengan sepatah perkataan mampu melukai hati seorang manusia. Bak kata pepatah Arab, lidah lebih tajam daripada pedang.
                Dengan mengamalkan perkara di atas, Insha Allah kita akan dapat mencapai matlamat yang kita impikan iaitu menjadi manusia yang lebih baik. Berusahalah dan jangan sesekali berputus asa kerana kejayaan sentiasa menanti kehadiran orang yang berusaha. Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal. 

 (WAN SAIDATUL HUSNA NAZWA BINTI WAN ASBI, 6BB PRA U SMK TPDPH NORMAH 2014)

Sebarang komen dialu-alukan namun biarlah bersopan.

No comments: