Bersyukur
Air, tumbuh-tumbuhan,
tanah dan segala kehidupan di dunia ini adalah nikmat yang diberikan oleh Sang
Pencipta. Nikmat yang dikurniakan oleh-Nya memberi banyak kesenangan dan
membantu kita dalam meneruskan kehidupan.
Berterima kasih
ataupun erti kata lain adalah bersyukur sama ada dari segi wang, makanan
ataupun sebagainya. Dengan cara bersyukur kita akan lebih menghargai dan
menjaga sesuatu benda tersebut dengan baik dan teliti.
Salah satu cara kita
bersyukur adalah dengan memperbanyakkan ibadat kita kepada Yang Esa. Harus kita
ingat kepada pemberi nikmat kepada kita selama ini. Amalkanlah solat sunat
dengan lebih banyak, kerapkanlah berzikir adalah antara salah satu cara kita
untuk berterima kasih kepada Yang Maha Kuasa.
Ada beberapa ketika
kita lupa untuk bersyukur. Timbullah sifat riak mahupun sombong dalam diri
kita. Cepatlah kita sedar apabila hal seperti ini berlaku dan cepatlah
bertaubat agar kita tidak hanyut dalam godaan syaitan durjana.
Apabila syaitan
menguasai diri kita, kita akan berasa kita yang terhebat, terhormat dan
terbaik. Kita akan lupa pada orang sekeliling kita yang sentiasa menyokong
kejayaan kita. Oleh itu berhati-hatilah.
Kita sentiasa diuji
dengan pelbagai dugaan. Jangan ingat, kesusahan merupakan dugaan tetapi apabila
kita dilimpahi dengan kemewahan Allah juga sedang menguji kita. Allah ingin
lihat sama ada kita bersyukur kepada-Nya ataupun terus melupakan-Nya. Allah terlalu
sayangkan kita kerana selalu memberikan kita ujian dalam hidup kita. Ia menjadikan
kita lebih matang dan berfikiran dewasa.
Kesimpulannya, harus
disematkan sikap berterima kasih dalam diri kita. Bukan susah untuk berterima
kasih dan bukan susah untuk mendapat nikmatnya. Kita sebagai umat-Nya harus
bersyukur dan janganlah bersifat riak dalam kehidupan kita. Oleh itu, kesederhanaan itu penting dalam kehidupan dan bersyukurlah selagi kita hidup.
(WAN SAIDATUL HUSNA NAZWA BINTI WAN ASBI, 6BB PRA U SMK TPDPH NORMAH 2014)
No comments:
Post a Comment